Wednesday, October 29, 2008

Snippets

Terima kasih kepada Anonymous kerana sudi melayari blog ini. Blog ini terbuka kepada semua untuk mengkritik penulisan dan pendapat saya.

Seperti biasa tidak semua akan bersetuju dengan pendapat seseorang kerana setiap dari manusia punya pendapat masing-masing.

Pada 14 Oktober lepas, Anonymous mengkritik saya berkenaan ISU RACIST yang saya tulis. Tetapi ingin saya jelaskan di sini bahawa saya tidak pernah bermaksud orang Melayu sebagai bangsa yang maksum, tidak pernah membuat kesalahan atau bangsa terbaik yang mana tidak perlu meminta maaf kepada bangsa lain.

Saya cuma hairan kenapa selalunya kaum pribumi disalahkan di negara mereka sendiri. Dan kenapa apabila bangsa Melayu bersuara timbul pula perkataan 'racist'?

Kalau difikir semula apabila puak Hindraf berkata berlaku pembunuhan 100 orang Hindu dan sebanyak 1 kuil dirobohkan setiap tiga minggu di Malaysia oleh pihak pemerintah yang didominasi bangsa Melayu, jelas adalah satu pendustaan. Manakala apabila AP Seputeh di dalam Parlimen menyarankan laungan azan direndahkan pembesar suara dan terus menyaman setiap mereka yang tidak bersetuju dengannya, tidak pula ada isu perkataan 'racist' yang timbul.

Hakikatnya kandungan utama penulisan saya adalah bagaimana isu 'racist' kalau diputar-belit akan membawa huru-hara dan ketidaktentuan dalam negara. Selain itu ingin saya nyatakan bahawa kes seperti Ahmad Ismail telah salah dikendalikan oleh pimpinan tertinggi UMNO yang terus meminta maaf tanpa usul periksa sebagaimana yang dikatakan Tun Dr. Mahathir.

Juga tidak dinafikan saya amat bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati Malaysia kerana hasil daripada pengorbanan dan perjuangan pemimpin-pemimpin bangsa dan rakyat Malaysia dahulu. Tanpa pengorbanan tidak akan lahir bangsa Malaysia seperti yang wujud pada hari ini.

Saya sarankan anda membaca 'The Malay Dilemma' tulisan Dr. Mahathir pada tahun 70' an yang terus sahaja dilabel 'racist' oleh kebanyakkan orang dari bangsa lain terutamanya bangsa Cina dan orang luar. Karya Tun telah banyak membuka minda dan mengajar betapa pentingnya dasar toleransi bagi mewujudkan suasana aman damai walaupun hidup dalam kepelbagaian bangsa dan agama. Dan tidak keterlaluan jika buku tersebut dijadikan subjek wajib untuk dipelajari di IPTA dan IPTS dalam negara sebagai memupuk semangat cintakan negara.

Friday, October 17, 2008

KELEMBAPAN EKONOMI MALAYSIA

Dalam keadaan terdesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara mengumumkan bahawa beberapa projek kerajaan terpaksa ditangguhkan dan dinilai semula kelmarin. Ini termasuklah projek-projek di Koridor Raya yang telah dirasmikan sebelum ini akibat dari kelembapan ekonomi.

Satu kejutan. Bukan lagi satu kejutan. Sebelum ini kita telah dikejutkan dengan peningkatan mendadak harga petrol dan diesel, kekurangan bahan makanan, peningkatan kadar inflasi dan kejatuhan nilai pasaran negara yang berlarutan sejak dari bulan Februari tahun ini.

Jika diimbas semula awal tahun ini, Bursa Malaysia berada pada paras membanggakan apabila melepasi paras 1500 mata. Namun akibat daripada ketidakstabilan pola ekonomi dan politik negara dan luar kejatuhan saham berleretan sehingga ke hari ini. Kelmarin Bursa Malaysia jatuh lagi hampir 30 mata menjadikan ianya berada pada paras terendah dicatatkan tahun ini iaitu pada 920 mata.

Perlu diingatkan Bursa Saham negara adalah pemangkin aras kekuatan ekonomi sesebuah negara pada hari ini walaupun perkiraan lain boleh diambil kira seperti kadar pembangunan(growth rate) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jadi apabila dinilai kembali, kejatuhan Bursa Malaysia sebanyak 40% sejak awal tahun ini yang menghampiri paras 600 mata menggambarkan sesuatu yang buruk telah berlaku kepada ekonomi negara. Ditambah pula pengumuman penangguhan projek-projek Koridor Raya oleh Perdana Menteri dan beberapa lagi seperti yang disebutkan di atas, kita sebenarnya sudah terjerumus teruk dalam krisis ekonomi.

Hakikatnya pada hari ini, kepimpinan negara tidak mahu mengakui bahawa kita berada dalam 'kemelesetan ekonomi'.

Berbillion ringgit pelaburan langsung luar negara telah ditarik keluar dari Malaysia, ratusan jutaan ringgit pula telah ditarik keluar daripada Bursa Malaysia begitu juga dalam pelaburan lain seperti Unit Amanah dan Bon-Bon dalam Negara yang turut mengalami kejatuhan harga pasaran ketika ini.

Rakyat dijanjikan dengan pelaburan masuk dari luar negara bernilai ratusan billion ringgit pada setiap Koridor Raya yang dirasmikan. Tetapi 4 Koridor Raya yang dirasmikan kini ianya hanya tinggal bayang-bayang kerana semua projek-projek yang dijanjikan belum dilaksanakan lagi dan ada pula yang ditangguhkan manakala pelabur-pelabur yang kebanyakannya dari Asia Barat, Asia Timur dan Eropah pula mula menarik semula pelaburan yang dipersetujui.

Di mana kekuatan ekonomi Malaysia seperti pada awal tahun 90-an yang lebih dikenali sebagai Harimau Asia Tenggara? Ke mana hala tuju ekonomi Malaysia selepas ini? Kekuatan sektor ekonomi seperti sektor perkhidmatan, sektor perindustrian dan sektor pertanian Malaysia di paras mana? Bagaimana pula hasrat negara maju yang dipegang rakyat Malaysia iaitu Wawasan 2020?

Malaysia pada hari ini sebenarnya sedang bergerak lembap dari sektor ekonomi sama seperti kelajuan pejalan-pejalan kaki yang bergerak menyelusuri celah-celah bangunan yang pesat membangun di pusat bandararaya dan kota raya.

Hendaknya perubahan dan transformasi perlu dilakukan. Rakyat perlu bersatu padu mengerah tenaga memastikan nikmat kestabilan politik dan sosial yang kita perolehi selama ini bukan sahaja dikekalkan tetapi terus pesat membangun memacu pertumbuhan ekonomi negara. Pemimpin-pemimpin pula perlu bersatu hati mengerah akal fikiran dan tenaga dengan daya yang kreatif dan inovatif menggerakkan langkah-langkah drastik menyusun semula kedudukan ekonomi Malaysia supaya terus bersaing di persada antarabangsa.

Ini kerana semua di antara kita adalah rakyat Malaysia.

Kita mahu melihat Malaysia kita maju dan terus bergerak ke hadapan mencapai Wawasan 2020 seperti yang kita impikan.

Saturday, October 11, 2008

SURAT TERAKHIR SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDIQ

Saidina Abu Bakr al-Siddiq pada penghujung hayatnya, menulis surat mencadangkan penggantinya. Dalam surat tersebut beliau menyatakan seperti berikut:

“Bismillah al-Rahman al-Rahim. Inilah apa yang dipesan oleh Abu Bakr bin Abu Quhafah di waktu akhir hayat di dunia ini, sedang keluar darinya, dan permulaan tempoh di Akhirat, sedang masuk ke dalamnya. Di kala seperti ini, seseorang yang kafir akan beriman, seseorang pendusta akan bercakap benar. Maka aku –dalam keadaan begini- melantik pemerintah kamu selepasku ini ‘Umar bin al-Khattab. Maka dengar dan taatlah kepadanya. Aku tidak akan mengurangkan sedikit kebaikan pun buat Allah, rasulNya, agamaNya, diriku dan kamu. Sekiranya ‘Umar berlaku ‘adil, maka itu sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia sebaliknya, maka setiap individu berdasarkan apa yang dikerjakan. Sedangkan aku inginkan kebaikan dan tidak pula aku tahu perkara yang ghaib. “Nanti orang-orang zalim akan mengetahui di mana kesudahan mereka” Wa al-Salam ‘alaikum wa rahmatulLah”. (al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa, 32, Beirut: Dar al-Fikr).

Isi surat ini menyorot kisah di penghujung nyawa Abu Bakr al-Siddiq apabila membuat cadangan penggantinya atas rasa tanggungjawab kepada Allah taala dan sekalian umat. Pada masa yang sama apa yang menjadi kerisauan beliau adalah kehidupan dan masa depan umat di bawah penggantinya. Beliau juga dengan rasa rendah diri dan dengan jiwa yang gementar berasa takut kepada Allah di atas sebab pilihannya juga kerana apa yang bakal dilakukan oleh penggantinya.

Surat ini seharusnya menjadi teladan dan pedoman buat semua pemimpin dan umat pada hari ini.

Thursday, October 9, 2008

PERALIHAN KUASA

Apabila pemerintah bertukar kerajaan mahupun takhta bertukar tangan sesuatu yang rakyat dambakan adalah perubahan dan penambahbaikan atau 'reform' dan 'improvement'.

Bidang memilih pengganti bukannya kerja mudah seumpama membuat telahan atau ramalan bilangan bintang di langit. Sebaliknya adalah amanah berat kerana yang memilih samaada suara rakyat atau pemerintah tertinggi yang bakal menerima kesan dari pilihan yang dibuat di kehidupan dunia ini mahupun kehidupan selepasnya.

Menceritakan peralihan kuasa pemerintahan Khulafa' Rasyidin mungkin dapat menzahirkan hikmah sebagai pedoman buat semua. Saat terakhir apabila maut menjemput Saidina Abu Bakar As-Sidiq, telah beliau karangkan sepucuk surat mencadangkan penggantinya iaitu Saidina Omar Al-Khattab.

Dimulakan dengan kalam Bismillah, di permulaan tulisannya dijelaskan bahawa di saat menemui ajal yang jahat akan berubah menjadi beriman dan yang suka berbohong akan bercakap benar. Dinyatakan nama penggantinya lalu disuruh dengar dan taat kepadanya. Dan dalam kerendahan diri terus menyatakan perihal pentingnya terus melakukan kebaikan walau siapa pun yang menjadi pemerintah. Juga ditekankan dengan perasaan gentar kepada Maha Pencipta dan Pentadbir bahawa seandainya penggantinya tidak dapat berlaku adil maka setiap dari rakyat bertanggunjawab di atas setiap apa yang dikerjakan. Mengharapkan kebaikan dan keredaan kerana beliau tidak tahu apa yang bakal berlaku di masa hadapan. Disudahi dengan salam sebaris ayat sebelumnya menjelaskan bahawa yang memilih berlaku zalim akan memilih kesudahan tempat mereka.

Mengira detik bilangan hari peralihan kuasa bukan satu persoalan. Bulan Mac tahun depan bukanlah jauh di hujung dunia. Bukan pula lambat apabila dihitung purnama. Tetapi titik persoalan utama sekarang adalah kredibiliti yang dinanti daripada si pengganti.

Sesuatu yang dinanti adalah kredibiliti yang datang daripada keupayaan dan kejujuran pengganti. Malaysia mungkin mempunyai ramai kelibat pemimpin berkarisma dan bijak tapi apa yang bakal dituntut adalah keupayaan yang menjadi teras kekuatan pemimpin dan kejujuran yang menjadi dinding akhlak bakal si pengganti. Diharap Malaysia akan menerima pemimpin yang punya kedua-duanya.

Apapun yang pergi akan tetap dikenang dan yang datang bersilih ganti.

Khas buat Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi lafaz selamat tinggal diucapkan dan jika ditakdirkan Dato Seri Najib Tun Abdul Razak akan menjadi pengganti atau bakal pemerintah ucapan selamat datang akan dialu-alukan.

Tambahan lagi ucapan bersiap-sedia dilaungkan berulang kali. Ini kerana yang yang diperintah iaitu rakyat tidak akan duduk diam membisu kerana setiap langkah, tindak-tanduk dan gerak-geri akan dinilai dan diperhati.