Thursday, October 9, 2008

PERALIHAN KUASA

Apabila pemerintah bertukar kerajaan mahupun takhta bertukar tangan sesuatu yang rakyat dambakan adalah perubahan dan penambahbaikan atau 'reform' dan 'improvement'.

Bidang memilih pengganti bukannya kerja mudah seumpama membuat telahan atau ramalan bilangan bintang di langit. Sebaliknya adalah amanah berat kerana yang memilih samaada suara rakyat atau pemerintah tertinggi yang bakal menerima kesan dari pilihan yang dibuat di kehidupan dunia ini mahupun kehidupan selepasnya.

Menceritakan peralihan kuasa pemerintahan Khulafa' Rasyidin mungkin dapat menzahirkan hikmah sebagai pedoman buat semua. Saat terakhir apabila maut menjemput Saidina Abu Bakar As-Sidiq, telah beliau karangkan sepucuk surat mencadangkan penggantinya iaitu Saidina Omar Al-Khattab.

Dimulakan dengan kalam Bismillah, di permulaan tulisannya dijelaskan bahawa di saat menemui ajal yang jahat akan berubah menjadi beriman dan yang suka berbohong akan bercakap benar. Dinyatakan nama penggantinya lalu disuruh dengar dan taat kepadanya. Dan dalam kerendahan diri terus menyatakan perihal pentingnya terus melakukan kebaikan walau siapa pun yang menjadi pemerintah. Juga ditekankan dengan perasaan gentar kepada Maha Pencipta dan Pentadbir bahawa seandainya penggantinya tidak dapat berlaku adil maka setiap dari rakyat bertanggunjawab di atas setiap apa yang dikerjakan. Mengharapkan kebaikan dan keredaan kerana beliau tidak tahu apa yang bakal berlaku di masa hadapan. Disudahi dengan salam sebaris ayat sebelumnya menjelaskan bahawa yang memilih berlaku zalim akan memilih kesudahan tempat mereka.

Mengira detik bilangan hari peralihan kuasa bukan satu persoalan. Bulan Mac tahun depan bukanlah jauh di hujung dunia. Bukan pula lambat apabila dihitung purnama. Tetapi titik persoalan utama sekarang adalah kredibiliti yang dinanti daripada si pengganti.

Sesuatu yang dinanti adalah kredibiliti yang datang daripada keupayaan dan kejujuran pengganti. Malaysia mungkin mempunyai ramai kelibat pemimpin berkarisma dan bijak tapi apa yang bakal dituntut adalah keupayaan yang menjadi teras kekuatan pemimpin dan kejujuran yang menjadi dinding akhlak bakal si pengganti. Diharap Malaysia akan menerima pemimpin yang punya kedua-duanya.

Apapun yang pergi akan tetap dikenang dan yang datang bersilih ganti.

Khas buat Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi lafaz selamat tinggal diucapkan dan jika ditakdirkan Dato Seri Najib Tun Abdul Razak akan menjadi pengganti atau bakal pemerintah ucapan selamat datang akan dialu-alukan.

Tambahan lagi ucapan bersiap-sedia dilaungkan berulang kali. Ini kerana yang yang diperintah iaitu rakyat tidak akan duduk diam membisu kerana setiap langkah, tindak-tanduk dan gerak-geri akan dinilai dan diperhati.

No comments: