Wednesday, October 29, 2008

Snippets

Terima kasih kepada Anonymous kerana sudi melayari blog ini. Blog ini terbuka kepada semua untuk mengkritik penulisan dan pendapat saya.

Seperti biasa tidak semua akan bersetuju dengan pendapat seseorang kerana setiap dari manusia punya pendapat masing-masing.

Pada 14 Oktober lepas, Anonymous mengkritik saya berkenaan ISU RACIST yang saya tulis. Tetapi ingin saya jelaskan di sini bahawa saya tidak pernah bermaksud orang Melayu sebagai bangsa yang maksum, tidak pernah membuat kesalahan atau bangsa terbaik yang mana tidak perlu meminta maaf kepada bangsa lain.

Saya cuma hairan kenapa selalunya kaum pribumi disalahkan di negara mereka sendiri. Dan kenapa apabila bangsa Melayu bersuara timbul pula perkataan 'racist'?

Kalau difikir semula apabila puak Hindraf berkata berlaku pembunuhan 100 orang Hindu dan sebanyak 1 kuil dirobohkan setiap tiga minggu di Malaysia oleh pihak pemerintah yang didominasi bangsa Melayu, jelas adalah satu pendustaan. Manakala apabila AP Seputeh di dalam Parlimen menyarankan laungan azan direndahkan pembesar suara dan terus menyaman setiap mereka yang tidak bersetuju dengannya, tidak pula ada isu perkataan 'racist' yang timbul.

Hakikatnya kandungan utama penulisan saya adalah bagaimana isu 'racist' kalau diputar-belit akan membawa huru-hara dan ketidaktentuan dalam negara. Selain itu ingin saya nyatakan bahawa kes seperti Ahmad Ismail telah salah dikendalikan oleh pimpinan tertinggi UMNO yang terus meminta maaf tanpa usul periksa sebagaimana yang dikatakan Tun Dr. Mahathir.

Juga tidak dinafikan saya amat bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati Malaysia kerana hasil daripada pengorbanan dan perjuangan pemimpin-pemimpin bangsa dan rakyat Malaysia dahulu. Tanpa pengorbanan tidak akan lahir bangsa Malaysia seperti yang wujud pada hari ini.

Saya sarankan anda membaca 'The Malay Dilemma' tulisan Dr. Mahathir pada tahun 70' an yang terus sahaja dilabel 'racist' oleh kebanyakkan orang dari bangsa lain terutamanya bangsa Cina dan orang luar. Karya Tun telah banyak membuka minda dan mengajar betapa pentingnya dasar toleransi bagi mewujudkan suasana aman damai walaupun hidup dalam kepelbagaian bangsa dan agama. Dan tidak keterlaluan jika buku tersebut dijadikan subjek wajib untuk dipelajari di IPTA dan IPTS dalam negara sebagai memupuk semangat cintakan negara.

No comments: