Dalam keadaan terdesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara mengumumkan bahawa beberapa projek kerajaan terpaksa ditangguhkan dan dinilai semula kelmarin. Ini termasuklah projek-projek di Koridor Raya yang telah dirasmikan sebelum ini akibat dari kelembapan ekonomi.
Satu kejutan. Bukan lagi satu kejutan. Sebelum ini kita telah dikejutkan dengan peningkatan mendadak harga petrol dan diesel, kekurangan bahan makanan, peningkatan kadar inflasi dan kejatuhan nilai pasaran negara yang berlarutan sejak dari bulan Februari tahun ini.
Jika diimbas semula awal tahun ini, Bursa Malaysia berada pada paras membanggakan apabila melepasi paras 1500 mata. Namun akibat daripada ketidakstabilan pola ekonomi dan politik negara dan luar kejatuhan saham berleretan sehingga ke hari ini. Kelmarin Bursa Malaysia jatuh lagi hampir 30 mata menjadikan ianya berada pada paras terendah dicatatkan tahun ini iaitu pada 920 mata.
Perlu diingatkan Bursa Saham negara adalah pemangkin aras kekuatan ekonomi sesebuah negara pada hari ini walaupun perkiraan lain boleh diambil kira seperti kadar pembangunan(growth rate) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jadi apabila dinilai kembali, kejatuhan Bursa Malaysia sebanyak 40% sejak awal tahun ini yang menghampiri paras 600 mata menggambarkan sesuatu yang buruk telah berlaku kepada ekonomi negara. Ditambah pula pengumuman penangguhan projek-projek Koridor Raya oleh Perdana Menteri dan beberapa lagi seperti yang disebutkan di atas, kita sebenarnya sudah terjerumus teruk dalam krisis ekonomi.
Hakikatnya pada hari ini, kepimpinan negara tidak mahu mengakui bahawa kita berada dalam 'kemelesetan ekonomi'.
Berbillion ringgit pelaburan langsung luar negara telah ditarik keluar dari Malaysia, ratusan jutaan ringgit pula telah ditarik keluar daripada Bursa Malaysia begitu juga dalam pelaburan lain seperti Unit Amanah dan Bon-Bon dalam Negara yang turut mengalami kejatuhan harga pasaran ketika ini.
Rakyat dijanjikan dengan pelaburan masuk dari luar negara bernilai ratusan billion ringgit pada setiap Koridor Raya yang dirasmikan. Tetapi 4 Koridor Raya yang dirasmikan kini ianya hanya tinggal bayang-bayang kerana semua projek-projek yang dijanjikan belum dilaksanakan lagi dan ada pula yang ditangguhkan manakala pelabur-pelabur yang kebanyakannya dari Asia Barat, Asia Timur dan Eropah pula mula menarik semula pelaburan yang dipersetujui.
Di mana kekuatan ekonomi Malaysia seperti pada awal tahun 90-an yang lebih dikenali sebagai Harimau Asia Tenggara? Ke mana hala tuju ekonomi Malaysia selepas ini? Kekuatan sektor ekonomi seperti sektor perkhidmatan, sektor perindustrian dan sektor pertanian Malaysia di paras mana? Bagaimana pula hasrat negara maju yang dipegang rakyat Malaysia iaitu Wawasan 2020?
Malaysia pada hari ini sebenarnya sedang bergerak lembap dari sektor ekonomi sama seperti kelajuan pejalan-pejalan kaki yang bergerak menyelusuri celah-celah bangunan yang pesat membangun di pusat bandararaya dan kota raya.
Hendaknya perubahan dan transformasi perlu dilakukan. Rakyat perlu bersatu padu mengerah tenaga memastikan nikmat kestabilan politik dan sosial yang kita perolehi selama ini bukan sahaja dikekalkan tetapi terus pesat membangun memacu pertumbuhan ekonomi negara. Pemimpin-pemimpin pula perlu bersatu hati mengerah akal fikiran dan tenaga dengan daya yang kreatif dan inovatif menggerakkan langkah-langkah drastik menyusun semula kedudukan ekonomi Malaysia supaya terus bersaing di persada antarabangsa.
Ini kerana semua di antara kita adalah rakyat Malaysia.
Kita mahu melihat Malaysia kita maju dan terus bergerak ke hadapan mencapai Wawasan 2020 seperti yang kita impikan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment