Monday, September 22, 2008

MALAYSIA HAK KITA?

Melihat kepincangan yang berlaku terhadap Malaysia baik dari segi politik dan ekonomi yang tidak putus-putus menggambarkan kedudukan sebenar kelemahan pemerintah yang mewakili rakyat.

Ramai yang tidak terkejut, apabila Fukuda,PM negara maju Jepun meletakkan jawatan atas tekanan pembangkang dan mengakui tidak punya karisma bagi mengawal keadaan ekonomi negara yang kian meleset. Karisma dan kredibiliti adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli kerana ia datang secara lahiriah.

Kemampuan mengawal segala yang berada dalam linkungan adalah kurniaan, kerana hanya mereka yang hebat dapat memberi impak kepada persekitarannya dan bukan persekitaran yang mengawal dirinya.

Di Malaysia sesuatu yang berlaku adalah berlainan, walaupun banyak tekanan, terdapat suara dari akar umbi, desakan mahukan perubahan, proses menyalahkan sesama sendiri berlaku, dan kejutan demi kejutan berlarutan dalam pola politik dan ekonomi negara, pihak pemerintah masih tidak sedarkan diri.

Tidak banyak perubahan dilaksanakan. Pemerintah masih yakin dengan kemenangan majoriti mudah hasil dari PRU lepas. Rakyat pula terus dihidang dengan ketidaktentuan politik dan ekonomi yang berlaku hampir setiap hari. Sistem sosial pula terhakis sedikit demi sedikit.

Setelah rakyat menyatakan protes mereka pada PRU lepas, jelas kelihatan dalam pentadbiran negara iaitu pemerintah peringkat tertinggi takut dan gentar melakukan perubahan demi MALAYSIA.

Melepaskan jawatan bukan bererti kalah, tetapi rasa tanggungjawab supaya MALAYSIA negara kita dapat terus memacu pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Mengapa Malaysia yang satu ketika dahulu diakui politik, ekonomi dan sosial kekuatannya kini menampakkan jurang kelemahan ketara?

Mengapa Malaysia yang punya pemerintah atau cerdik pandai berbilang bangsa yang berjaya membawa kesejahteraan lebih setengah abad, kini senyap takut menyatakan kebenaran sedang rakyat menuntut perubahan di peringkat tertinggi negara?

Rakyat dan pemerintah, kita semua adalah RAKYAT MALAYSIA.

Kita semua sayangkan MALAYSIA.

Berani melakukan PERUBAHAN bukan satu liabiliti tapi menunjukkan rasa sayang kita kepada MALAYSIA untuk melihat MALAYSIA yang lebih maju, aman dan damai untuk hari ini dan masa depan.

No comments: